Jumaat, 26 Oktober 2012
Johor membara
IMPIAN pasukan Johor membina sebuah pasukan mantap bagi mengharungi kempen Liga Malaysia musim hadapan semakin membara.
Terbaru, pasukan yang berpangkalan di selatan tanah air itu berhasrat membawa masuk kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim dan penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha (Mat Yo).
Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Suhairi Hashim mengesahkan perkara tersebut bagaimanapun berkata, ia masih di peringkat awal.
“Sebelum ini, beberapa nama yang dikhabarkan akan turut serta dalam pasukan Harimau Selatan seperti Aidil, Zaquan, Azmi Muslim (ATM), Nurul Azwan Roya (Kelantan) dan Muslim Ahmad (Terengganu) memberi respons baik.
“Namun, kami belum ada perjanjian rasmi. Perkara ini hanya akan diumumkan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kelak,” katanya.
Suhairi berkata, biarpun beberapa pemain yang diintai telah tamat kontrak, namun ada di antara mereka masih terikat dengan pasukan kebangsaan dan proses rundingan hanya akan dibuat selepas tempoh tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, Suhairi berkata, dua awang import Johor, Andre dan Orlando akan dikekalkan bersama skuad itu musim hadapan.
“Selain itu, kita cuba mendapatkan dua lagi pemain import. Mereka ini pernah beraksi di Piala Dunia,” katanya.
Jelas Suhairi, Johor serius untuk membentuk pasukan yang mantap seterusnya mengembalikan kegemilangan pasukan itu pada era 90-an.
Katanya, untuk tujuan itu, setiap pemain diberi ganjaran setimpal dengan bakat mereka supaya tidak meninggalkan pasukan serta bersaing dengan lebih menarik.
Sebelum ini pasukan Johor FC ditukar nama sebagai Johor dengan legenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad yang dibantu jurulatih Harimau Muda B, Ismail Ibrahim mengendalikan skuad itu bagi kempen Liga Malaysia musim depan.
Pengurusan Johor FC kini diambil alih PBNJ yang akan turut menguruskan pasukan Johor, yang kini dikenali sebagai Johor FA untuk beraksi dalam kancah Liga Perdana 2013.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)

Tiada ulasan:
Catat Ulasan