Jumaat, 22 Februari 2013

N9 mencari kemenangan pertama


Misi meraih kemenangan pertama liga super musim ini menjadi agenda utama skuad Hoben Jang Hoben dalam pertemuan menentang T-Team, jika tidak mahu lagi terperosok di tangga tercorot liga.
Tekanan semestinya memuncak buat Negeri Sembilan yang bakal melayan kunjungan T-Team di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi Jumaat ini yang masih belum mencipta sebarang kemenangan daripada tujuh perlawanan setakat ini.
Beraksi di laman sendiri bukan satu kelebihan buat skuad kendalian Divaldo Alves dan ini terbukti apabila mereka gagal menang ke atas Terengganu, Perak dan ATM dalam aksi liga.
Aksi terakhir menentang PKNS di Shah Alam nyaris berakhir dengan kekalahan dan jurulatih Divaldo Alves lebih menumpukan keputusan seri diperolehi atas faktor mutu pengadilan yang tidak memihak skuadnya.
Jelas Divaldo kini dalam keadaan terdesak mencari kesebelasan terbaik seterusnya mencari kemenangan jika mahu terus kekal dalam pengurusan Negeri Sembilan.
Sementara T-Team yang kini di tangga ke-9 liga masih tidak boleh terlalu selesa kerana hanya dua mata di atas zon penyingkiran.
Aksi mantap ketika menewaskan juara Liga Super musim lalu, Kelantan pada awal musim gagal diteruskan dan skuad kendalian Peter Butler tewas dua perlawanan berturut-turut sebelum kembali mencatat kemenangan ke atas Lions XII.
Aksi terbaru selasa lalu, T-Team sekadar mencatat seri berdepan Felda United dan jika pasukan pantai timur itu mahu membuktikan kredibiliti mereka, kemenangan harus dicari malam esok.
Untuk rekod, Negeri Sembilan berkelebihan menang 6 perlawanan daripada 10 pertemuan sejak 2009 namun pertemuan terakhir di liga musim lalu, kedua-dua pasukan sekadar terikat seri satu sama.
Mampukah Negeri Sembilan meraih kemenangan sulung di liga menentang T-Team?
Saksikan siaran langsung perlawanan pada Jumaat bermula dengan pra rancangan jam 8 malam hanya di Astro Arena saluran 801.